Sunday, December 14, 2008

Arrie's family: Berkelah di Sg Tekala, Semenyih.#links

Arrie's family: Berkelah di Sg Tekala, Semenyih.#links

Kepentingan Ilmu dalam pembentukan Keluarga Bahagia

Kepentingan Ilmu Agama Dalam pembentukan Sebuah Keluarga Bahagia.

Penulis kali ini ingin mengambil tajuk ini sebagai topik perbincangan memandangkan masih terdapat dalam masyarakat, golongan yang mengabaikan ilmu sebagai asas dalam keluarga. Pada mereka selagi ekonomi dapat dijanakan dengan baik, kepentingan menuntut ilmu menjadi perkara ke-dua.
Dengan kata lain jika kaya dan mempunyai pendapatan tinggi, itu yang utama. Soal berpengetatuan tinggi atau sebaliknya tidak penting. Yang kaya dihormati walaupun taraf ilmu pengetahuannya amat cetek.
Dalam mengulas tentang kepentingan ilmu ini ada baiknya dimulakan dengan melihat pandangan ulama’ terkenal yang juga muti besar Qatar, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi. Pada pandangan beliau ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara.




Umpamanya bagi penulis sendiri yang bekerja di sebuah kilang pembuatan (Metal Stamping), jika sesuatu kerosakan mesin industri, jurutekniknya memiliki alat-alat berkaitan dengan pembaikannya, maka tugasnya menjadi mudah kerana dia memiliki alat untuk mengendalikan proses pembaik-pulih mesin berkenaan.





Begitulah juga dengan masalah agama, kebanyakan manusia bernama Islam hari ini semakin longgar ikatan mereka dengan Islam, ada yang tidak sembahyang, puasa, mengucap, memakan riba, rasuah, membunuh orang tanpa sebab yang dibenarkan dan lain-lain, akibat tidak memperdalami ataupun duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Kita dibelengu kejahilan yang berterusan dalam selok belok agama.




Samalah juga keadaannya dalam sesebuah institusi keluarga, asas pembentukan rumahtangga sekiranya tidak terbina dengan menjadikan agama sebagai hala tuju. Al-quran dan sunnah tidak dijadikan panduan dalam mengelesaikan segala konflik yang timbul. Apabila berlaku sesuatu konflik, jalan penyelesaikan diambil bukan merujuk kepada 2 panduan utama kita sebagai umat Islam. Dengan itu banyak kes-kes yang berlaku dalam keluarga seperti anak-anak lari dari rumah, terlibat dadah, penderaan dan sebagainya.

Ini semua tidak dapat lari sikap masyarakat kita sendiri yang tidak mementingkan Ilmu khususnya ilmu agama, dengan itu rumahtangga tidak dapat dibina dengan sempurna. Rumah yang sepatutnya sebagai “Bayyati Jannati” atau 'Rumahku Syurgaku' sudah tiada lagi. Anak-anak merasa tidak tenang berada di rumah walaupun rumah cukup besar dan Gah.

Dalam situasi yang lain pula, ada keluarga yang mengambil pendekatan agama tetapi tidak berusaha memperbaiki kejahilan dalm diri masing-masing. Kuat beramal tetapi tanpa kefahaman yang betul. Beramal hanya dengan ikutan semata-mata. Alasannya inilah amalan yang dibuat oleh nenek moyang tanpa menilai adakah amalan tersebut bersesuaian dengan Al-quran dan sunnah.

Nabi Rasulullah s.a.w sendiri mendapat wahyu permata melalui Surah Al-Alaq (Iqrak) yang jelas menunjukkan peri penting ilmu pengetahuan itu. Melalui perantaraan malaikat Jibril a.s, Nabi dimita ‘Baca lah’. Mana mungkin baginda nabi mampu menyeru manusia dengan pelbagai ragam cita rasa peribadatan pada masa itu tanpa dibekalkan Allah dengan ilmu.


Ringkasnya, jika seorang muslim yang rajin beramal ibadat, tetapi amalan-amalan yang dilakukannya bukanlah kerana atas kefahaman yang dipelajarinya, malah lebih kepada warisan secara tradisi, maka adalah dibimbangi, amalannya itu tidak diterima di sisi Allah s.w.t.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya;



“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi & Al-Tabarani)


Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.


Begitu lah halnya dalam keluarga, tidak dapat tidak, ilmu mesti dijadiakan asas dalam penbentukan keluarga bahagia.

Dalam hadis lain pula Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa. (Riwayat al-Bazzar)


Dengan ini, jelas bahawa tuntutan menuntut ilmu amat besar nilainya bagi kita sebagai umat Islam. Menjadi tanggung jawab ibu bapa memastikan tugas ini dijalankan dengan sempurna.

Ada sesetengah keluarga mengambil jalan lain untuk pembentukan keluarga mereka. Ilmu bukan asas tetapi materialistic menjadi keutamaan. Persoalan pada kita kenapakah adanya pemikiran tersebut. Untuk itu lebih baik kita huraikan apakah kefahaman tentang pengertian ilmu itu sendiri bertepatan dengan takrif sebenar.

Ilmu itu didefinisikan sebagai pengetahuan, kepandaian (dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dll) Pengetahuan tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah (methode) tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan gejala tertentu dalam bidang (pengetahuan itu) (Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003: 979).

Tafsiran Islam sendiri tentang ilmu pula pastinya tidak dapat lari dari amal. Sebagaimana dihuraiakan tadi amal tanpa ilmu adalah sia-sia begitulah sebaliknya. Amat rugilah seorang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya.


Dalam institusi keluarga pula, bapa yang menjadi penggerak tradisi ilmu dan amal ini. Bapa perlu menjadi contoh ikutan bagi anak-anak tentang kepentingan cintakan ilmu dan beramal sebaik mungkin apa-apa saranan tentang kebaikan dan meninggalkan segala keburukan berdasarkan ilmu yang ada.
KELUARGA bahagia pastinya dibina atas asas dan amalan agama yang kukuh, kasih sayang, hormat menghormati, bersefahaman, tolak ansur serta tanggungjawab.

Kesimpulannya, nilai agama dan moral adalah penting untuk kehidupan berkeluarga yang sejahtera. Dalam mencapai matlamat ini, kepentingan ilmu sebagai asas utama sesebuah keluarga tak dapat dinafikan lagi. Pendapat tentang kepentingan materialisitik sebagai matlamat keluarga adalah tertolak dengan jelas.


Semoga kita sama-sama berusaha menuju ke arah memartabatkan kecintaan terhadap ilmu berterusan dan istiqamah. Insya-Allah……

Suhaimi Ahmad
Teluk Panglima Garang, Selangor.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...