Wednesday, March 23, 2011

Antara Bersabar dan Bersyukur

Agak lama tidak menulis kerana kesuntukan masa dan juga tiada ilham untuk memilih tajuk artikel. Tajuk kali ini dipilih kerana telah mendapat ilham semasa tidur malam tadi. Datang umpama satu mimpi untuk memilih tajuk ini.

Sebelum menulis lebih lanjut, penulis ingin menjelaskan bahawa artikel tidak ada kaitan dengan sesiapa atau berkaitan dengan apa-apa isu semasa. Sekadar cetusan idea penulis untuk meneliti dan mengkaji berkaitan bersabar dan bersyukur. Perkaitan dan perbezaan antara keduanya.
Artikel ini hanya merupakan pendapat penulis sahaja berdasarkan pengetahuan penulis yang terbatas, pengalaman hidup dan juga disadur dari kuliah-kuliah yang dihadiri atau didengari oleh penulis juga buku-buku rujukan atau web-web pilihan penulis. Ianya bukanlah 100% tepat dan boleh disanggah oleh sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan penulis.

Kenapa memilih tajuk ini ? Penulis kerap memikirkan kita sebagai hamba yang pastinya diuji akan menghadapi ujian hidup dan perlu bersabar. TAPI yang hidup dalam kesenangan juga menjadi ujian iaitu ujian untuk mereka bersyukur atas nikmat yang diberikan-Nya. Berdasar dari persoalan itu timbulnya perkaitan antara keduanya dan kita perlu menilai antara keduanya, manakah yang lebih mudah untuk diamalkan dan ditempuhi oleh setiap dari kita.

Bersabar merupakan satu tuntutan bagi mereka yang dilanda musibah. Ganjaran yang berlipat kali ganda menanti bagi orang yang sabar.
“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)

Rasulullah SAW memberi galakan untuk kita bersabar terdahap kesusahan dan kepayahan hidup.

“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)


Allah Ta'ala mengulangi perkataan sabar sebanyak 16 kali dalam Al-Quran dalam berbagai bentuk. Ada ayat suruhan bersabar umpamanya merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.


Ada ayat memuji orang-orang yang sabar seperti surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara ayat Allah kasih kepada orang yang sabar dalam surah al-Baqarah, ayat 146.


Begitu banyak pengulangan sifat sabar ini menujukkan ianya begitu penting dan ganjaran besar menanti kita jika dapat menempuhi segala ujian dengan sabar. Ramai diantara kita sebagai umat akhir zaman ini mampu bersabar dalam banyak keadaan. Walau ianya perit, hidup dalam kesempitan. Kepayahan dalam urusan duniawi, makan pakai sekadar mencukupi. Tempat tinggal juga sederhana dan kadang-kadan agak dhoif. Kenderaan paling kecil dan paling sederhana tetapi kita semua dapat hadapinya.


Mahu tidak mahu, ujian kepayahan hidup ini dapat diatasi dengan mudah. Walaupun ramai yang berusaha gigih untuk keluar dari belengu kemiskinan ini tapi tidak berhasil tapi mereka tetap bersabar dan terus berusaha.
Tetapi apabila telah berjaya adakah kita bersykur ? Bersyukur juga satu tuntutan sebagaimana disebut dalam Al-Quran "Dan ketika Tuhanmu memaklumkan:

'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih'." (Ibrahim: 7)


Dalam ayat lain disebut
"Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepadaNya" (As-Saba' ayat 15)

Ganjaran yang besar bagi yang bersyukur begitulah sebaliknya. Rasulullah SAW juga mamberi peringatan tentang keperluan bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat”. (Riwayat At-Tabrani)


Berbalik kepada persoalan tadi, adakah kita bersyukur setelah kita berjaya dalam hidup. Setelah berkereta besar, rumah laksana istana, tanah beribu-ribu ekar. Harta yang melimpah ruah. Biasanya kita lupa. Manusia memang mudah alpa dengan kekayaan harta dunia mereka. Mereka lupa bahawa harta juga satu ujian buat mereka untuk mereka bersyukur.


Rasulullah SAW telah memberi gambaran tentang umat akhir zaman ini:
Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya. (Riwayat Bukhari).

Dalam hadis lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan. (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Ini menunjukkan antara ujian-ujian hidup kita mudah menghadapainya dan bersabar tetapi bila sudah mula kaya dan berharta manusia mudah tewas. Manusia mudah lupa bahawa Allah lah yang memberi mereka nikmat kekayaan tersebut dan tidak lagi bersyukur. Mereka lebih menganggap segala kekayaan ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Dari situ hilanglah rasa bersyukur dan berterima kasih dengan Allah atas pemberianNya.

Lebih menyedihkan lagi, mereka mula rasa bangga diri, sombong, takjub dan berbagai lagi sifat mazmumah mula terserlah dari gaya percakapan, perbuatan dan pergaulan mereka. Kesimpulan yang boleh diambil dari artikel pendek ini adalan kita yang bernama manusia tabah dalam menghadapi kesusahan dan ujian hidup. Ramai yang mampu menanganinya dan menjadi begitu kuat lagi dekat dengan Allah.


Tetapi bila kita diuji dengan kemewahan, amat mudah kita tewas dengan kesenangan dunia yang sementara ini dan mula hilang rasa bersykur kita. Jalan yang tebaik adalah ambil keduanya, bersabar bila ditimpa musibah dan bersyukur bila telah keluar darinya dan diberi kesenangan hidup.
Rasulullah menggambarkan bagaimana hebatnya kita sebagai umat beriman bersabar bila diuji dan bersyukur bila diber nikmat.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...