Tuesday, May 26, 2009

Kepentingan mencari ilmu

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://addeans.blogspot.com/

Sering kali kita mendengar apabila seseorang itu belajar dengan kitab sahaja tanpa bimbingan guru maka ia dianggap boleh jadi sesat kerana belajar tanpa guru maka yang ketiganya adalah syaitan. Itu semua hanyalah gimik belaka untuk menakut-nakutkan manusia malah tiada hadis sahih yang mengatakan belajar tanpa guru umpama belajar dengan syaitan.Bagaimana kita boleh begitu pasti mereka kemungkinan boleh jadi sesat sedangkan apa yang kita lihat sekarang kebanyakannya yang berguru adalah yang sesat. Lihat sajalah senarai ajaran-ajaran sesat yang telah diwartakan oleh JAKIM kebanyakannya adalah berguru. Maka mana yang benarnya belajar dengan guru atau tanpa guru?



Adakah kerana apabila ada guru maka apabila berlaku kesilapan pada anak murid, maka guru tersebut boleh membetulkan? Itu memang tidak dapat dinafikan tapi adakah guru itu semua apa yang diperkatakannya betul? Jika dah guru itu sesat diajarnya lagi ajarannya tidak sesatkah anak muridnya? Mana anda mahu pilih guru yang hanya mengajar tanpa membawa hujjah yang kukuh atau belajar dengan satu kitab ulamak yang diketahui kejujurannya, amanahnya, ketsiqahannya dan ketinggian ilmunya?

al-quran

Sebenarnya kedua-duanya adalah sama samaada berguru atau tidak tapi mestilah ada keikhlasan dan tidak ada sikap taksub pada kitab atau guru tersebut. Tapi yang berguru diberi keutamaan.Yang penting mendahulukan Al-Quran dan sunnah daripada guru. Rasulullah bersabda:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya".(Riwayat Malik dalam Muwatha no.898 ).

Maka jelas selagi kita berpegang dan mendahulukan Al-Quran dan sunnah dari segala-galanya dalam sesuatu perkara maka Rasulullah s.a.w mengatakan "tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya".

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pernah ditanya tentang perkara tersebut. Beliau menjawab:

"Tidak diragui lagi bahawa ilmu boleh diperolehi dengan mempelajarinya daripada para ulama dan daripada kitab. Ini kerana, kitab seorang ulama adalah ulama itu sendiri, dia berbicara kepadamu tentang isi kitab itu. Jika tidak dapat menuntut ilmu daripada ahli ilmu maka dia boleh mencari ilmu daripada kitab. Akan tetapi memperolehi ilmu melalui ulama lebih dekat (mudah) daripada memperolehi ilmu melalui kitab, ini kerana orang yang memperolehi ilmu melalui kitab akan banyak menemui kesulitan dan memerlukan kesungguhan yang besar, dan akan banyak perkara yang akan dia fahami secara samar sebagaimana terdapat di dalam kaidah syar�iyyah dan batasan yang ditetapkan oleh para ulama. Maka dia hendaklah mempunyai tempat rujukan di kalangan ahli ilmu semampu mungkin.

Adapun perkataan yang menyatakan: "Barangsiapa yang gurunya adalah kitabnya maka kesalahannya akan lebih banyak dari pada benarnya." Perkataan ini tidak benar secara mutlak, tetapi juga tidak salah secara mutlak. Jika seseorang mengambil ilmu daripada semua kitab yang dia lihat, maka tidak diragukan lagi bahawa dia akan banyak melakukan kesalahan. Adapun orang yang mempelajarinya bersandarkan kepada kitab-kitab orang-orang yang telah dikenal ketsiqahannya, amanahnya, dan ilmunya, maka dalam hal ini dia tidak akan banyak salah bahkan dia akan banyak benarnya dalam perkataannya.' [link]

Agama ini perlu dilihat dari segi hujjah kerana islam datang dengan hujjah. Hujjah mesti beserta dengan ilmu yang terang dan nyata bukannya kerana dia seorang aliran agama dan tahu bahasa arab maka itu adalah hujjah. Itu semua hanyalah tipu daya syaitan untuk mengelirukan manusia. Yang penting kefahaman tentang islam dan mempunyai fakta yang kukuh seperti mana yang dikatakan oleh Dr Asri Zainul Abidin:

"Hari ini ramai profesional yang tidak bergelar ustaz tetapi lebih mantap ilmunya daripada yang bergelar ustaz. Lihat seperti moderator fikrah.net; Tuan Hasan Tuan Lah, juga Kapten Hafiz Firdaus dan lain-lain yang berkemampuan. Mereka seperti ini berhak campur tangan dalam hal ilmu kerana mereka ada fakta". Nabi s.a.w menyebut:

" Manusia bagaikan bahan galian,seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami islam"( Riwayat al-Bukahri dan Muslim)

Dalam buku Kapten Hafiz Firdaus Abdullah "7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam" beliau ada meletakkan tiga bisikan syaitan untuk menakutkan umat Islam dari menghampiri al-Qur'an dan al-Sunnah iaitu:

Bisikan Pertama:

"Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut

ilmu dengan syaitan".

Bisikan ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut ilmu tentang agama mereka.Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah hadis.Sebenarnya berguru memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan(face to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan beliau.

Akan tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya kepada berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan seorang guru, maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.

Bisikan syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berjanji di dalam al-Qur'an:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]

Bisikan Kedua:

"Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab."

Melalui bisikan ini syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang dia miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui hanya sekadar "Aina anta?" Sebenarnya pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab yang sudah diterjemah ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu terdapat juga buku-buku dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa Arab.

Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:

  1. Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya mengambil masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat membaca kitab-kitab klasik seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab. Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
  2. Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai aqidah yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab.

Ini kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi pada tahap seterusnya,bahasa Arab menjadi penting untuk mereka melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan.Bahasa Arab juga menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Qur'an, hadis atau perkataan ulama' silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.

Oleh kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa Arab akan mudah ditelaah oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia belum mahir dalam bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.

Ringkasnya, menguasai bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama, apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan bahasa Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah aqidah dan asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur'an dan al-Sunnah. Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda memiliki masa dan tenaga yang lebih,berilah tumpuan kepada bahasa Arab.

Bisikan Ketiga:

"Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan."

Tidak ada buku yang sempurna dari kesilapan melainkan al-Qur'an. Selain al-Qur'an, kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya syaitan yang membesarbesarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.

Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain. Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman awal dan pertengahan Islam.

Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.

Demikian tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu agama.Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah: "Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya)." [al-Isra' 17:62], ia tidak sangka bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat pada masa kini dimana majority dari umat Islam amat takut untuk belajar berkenaan agama mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.

Apabila umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang memiliki penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.

Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang berdasarkan al-Qur'an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita kaji seterusnya insya-Allah.

Maka kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah "A'uzubillahi minas syaitan nirrajim" dan terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.

Wallahua'lam.

____________________________________________________________

Muhammad Fakhruddin Ismail

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...