Monday, October 5, 2009

Mengumpat yg diharuskan

Imam Nawawi telah menetapkan enam keadaan di mana mengumpat adalah
diharuskan. (Al Azkar – Imam Nawawi hal. 303)

1- Ketika Dizalimi.
Orang yang dizalimi boleh bersuara untuk mengadu tentang perbuatan
orang-orang yang telah menzaliminya. Imam an-Nawawi telah berkata:
“Adalah harus bagi yang dizalimi mengadu kepada sultan, qadhi atau mereka
yang lain yang mempunyai kekuasaan atau kemampuan untuk menghilangkan
kezaliman daripada dirinya.”(Al Azkar; Ibid)

Nabi telah bersabda:
“Sesungguhnya yang mempunyai hak itu mempunyai perkataan (yakni berhak untuk
bersuara).” (Bukhari – Muslim)

Jika yang melakukan kezaliman itu ialah orang-orang atasan, kita hendaklah
menceritakan tentang perkara ini kepada mereka yang lebih berkuasa daripada
mereka, agar tindakan dapat dilakukan secara berkesan. Imam al-Ghazali telah
berkata:
“Jika yang melakukan kezaliman itu ialah seorang Hakim, seseorang itu berhak
mengadu tentang kezaliman itu kepada pihak pemerintah.” (Ihya Ulumuddin bab
Mengumpat)

Jika pihak pemerintah telah melakukan kezaliman, rakyat perlu diberitahu
tentang kezaliman pemimpin mereka apatah lagi di dalam keadaan mereka
berkuasa untuk memilih pemimpin pada musim pilihanraya.

2- Meminta Pertolongan Untuk Mencegah Kemungkaran.
Menceritakan tentang kemungkaran yang dilakukan seseorang untuk mendapatkan
bantuan untuk mencegahnya, adalah diizinkan.

“Ketika sampai berita kepada Omar bahawa Abu Jundul telah membuat arak di
Syria, beliau terus menulis surat untuk menegurnya. Abu Jundul terus
bertaubat dan Omar tidak berpendapat bahawa berita yang sampai kepadanya itu
adalah satu umpatan.”(Ihya ‘Ulumuddin; Ibid)

Jika kuasa yang ada di tangan rakyat dapat membantu ke arah menjatuhkan
pemimpin-pemimpin yang telah melakukan kezaliman, kita boleh mendedahkan
tentang kezaliman mereka kepada rakyat agar kesedaran rakyat akan mampu
mengubah suasana ke arah yang makruf.

3- Ketika Meminta Fatwa.
Di haruskan menceritakan tentang keaiban orang lain kepada yang berilmu
untuk mendapatkan fatwa darinya. Tanpa maklumat itu, berkemungkinan hukum
dan fatwa tidak akan dapat diberikan secara tepat. Dalam konteks ini,
seorang isteri yang tidak mendapat hak dari suaminya harus menceritakan
tentang ketidakadilan suaminya untuk mendapatkan fatwa dan nasihat dari
orang-orang yang layak. Kes yang seperti ini telah berlaku di zaman
Rasulullah:
“Hindun binti Utbah telah bertanya hukum kepada Rasulullah tentang suaminya
(Abu Sufyan) yang bakhil: ‘Dia tidak memberikan harta yang mencukupi bagiku.
Bolehkah aku mengambil hartanya tanpa pengetahuannya?’ Jawab Rasulullah:
‘Ambillah secara yang mencukupi untuk diri dan anakmu secara yang makruf.’
”(Bukhari –Muslim)

4- Mengingatkan Orang Islam Dan Menakutkan Mereka Tentang Sesuatu Kejahatan
Dan Bidah.

Masyarakat perlu disedarkan tentang kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh sesat
di dalam masyarakat agar mereka dapat berwaspada dari golongan-golongan ini.
Mendedahkan tentang mereka tidak dianggap sebagai suatu umpatan malah
kadangkala ianya merupakan suatu tuntutan.
Rasulullah telah bersabda:
“Aku tidak yakin bahawa si pulan dan si pulan mengetahui tentang agama
sedikitpun.”(Bukhari)

Di dalam hadis ini Nabi telah menceritakan tentang keaiban dua orang munafik
agar sahabat-sahabat berwaspada dengan mereka.

Imam Al Ghazali telah berkata:
“Apabila kamu melihat seorang alim sering mendatangi seorang pembuat bid’ah
atau kefasikan, dan kamu takut bid’ah itu menular kepadanya, maka kamu
berhak menceritakan tentang keaiban orang itu kepada si alim tadi. Yang
menggerakkan kamu melakukannya ialah ketakutan menjalarnya bid’ah dan
kefasikan dan bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.”(Ihya Ulumuddin;
Ibid)

Penghinaan ke atas syariat dan undang-undang Allah merupakan kemungkaran
yang amat besar yang sedang berlaku di dunia Islam pada hari ini.

Imam Nawawi telah berkata:
“(Diantara perkara yang harus diumpatkan) ialah tentang mereka yang
mempunyai kekuasaan tetapi tidak menggunakannya di atas jalan yang hak
ataupun mereka ini merupakan orang-orang yang fasik, lalai dan yang
seumpamanya. Wajib diberitahu kepada pemimpin tertinggi agar dilucutkan
jawatannya dan digantikannya dengan seorang yang lebih layak.”(Al Azkar;
Ibid)

Bila yang fasik, lalai dan zalim adalah dari kalangan pemimpin yang
tertinggi, kuasa rakyat perlu digunakan untuk menggantikan mereka dengan
pemimpin-pemimpin yang lebih baik.

5- Umpatan ke Atas Mereka Yang Menzahirkan Maksiat.
Mereka yang sanggup mengiklan dan mendedahkan kemaksiatan dan tidak berasa
malu dengannya, tidak layak untuk dihormati.

Omar Al Khattab pernah berkata:
“Tidak ada kehormatan ke atas orang-orang yang fajir.”
Imam Al-Ghazali telah menafsirkan kalimat ‘fajir’ sebagai “yang melakukan
kefasikan secara terang-terangan tanpa selindung.”(Ihya Ulumuddin; Ibid)
Menceritakan tentang golongan yang sanggup menzahirkan maksiat tanpa
perasaan segan-silu adalah diharuskan.

Imam Al-Ghazali telah menegaskan:
“Orang-orang lelaki yang menampakkan dirinya sebagai wanita, mereka yang
mempunyai tempat minuman keras yang mana arak diminum secara terang-terangan
dan mereka yang meminta harta menusia secara paksaan, kesemua mereka adalah
termasuk di dalam golongan yang menzahirkan perbuatan keji, dimana mereka
tidak memelihara diri mereka dari disebut-sebut. Apabila kamu menceritakan
tentang mereka dan maksiat yang mereka zahirkan, maka kamu tidak
berdosa.”(Ihya Ulumuddin; Ibid)

Pemimpin yang memperkecilkan syariat Allah secara terang-terangan adalah
termasuk di dalam golongan yang tidak layak untuk dihormati.

Imam Hasan Al-Basri telah berkata:
“Tiga golongan manusia boleh diumpat: yang mengikut hawa nafsu, yang
melakukan kefasikan secara terang-terangan dan imam (pemimpin) yang
zalim.”(Ihya Ulumuddin; Ibid)

6- Memberi Gelaran Kepada Seseorang Untuk Pengenalan Pada Ketika Yang
Diperlukan.
Jika di dalam sesebuah kampung ramai daripada penduduknya bernama Muhammad,
harus diberikan gelaran bagi setiap seorang daripada mereka untuk memudahkan
pengenalan. Sebagai contoh, seorang digelar dengan Muhammad Surau, seorang
dengan Muhammad Tomyam, Muhammad Bisu dan seumpamanya.

Wassalam.
Dr. Danial

1 comment:

Anonymous said...

bagaimana pula dengan orang2 yang nampak alim tapi sebenarnya munafik?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...