Penulis kali ini ingin mengupas pengertian anak yatim mengikut Al-quran dan sunnah dan cara kita berinteraksi dengan mereka. Berbagai perpektif dan pandangan tentang cara berkesan berinteraksi dengan anak-anak yatim.
Soalnya bagaimanakah cara sebenar menurut pandangan agama. Sebelum mengulas lanjut berkenaan topik ini, lebih baik kita memahami maksud anak yatim itu sendiri.
Yatim Piatu adalah seseorang yang tidak lagi memiliki ayah dan ibu, sedangkan Yatim, dari bahasa arab, ertinya seseorang yang tidak memiliki ayah, dan Piatu adalah seseorang yang tidak memiliki ibu lagi.
Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai: Apabila seorang kanak-kanak kematian bapanya sama ada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka digelar yatim.
Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja yang digelar yatim. Ini kerana keperluan mereka kepada bapa di dalam menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya ini merujuk kepada peranan dan tanggungjawab seorang ayah.
Istilah yatim piatu pula tidak ada dalam kamus Arab melainkan ia terdapat dalam kamus perbualan masyarakat Melayu.
Panggilan serta kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak yatim ialah selagi mana mereka belum mencapai umur baligh. Ibn Ruslan pernah berkata: Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh lagi digelar dengan nama yatim.
Setelah kita mengenali siapa anak yatim, maka kita lihat pula bagaimana meberinteraksi dengan mereka dengan sebaiknya.
Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim. Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud:
Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu. (riwayat Muslim ).
Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga. Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara.
Maka di sini, banyak pilihan kita dalam berinteraksi dengan anak yatim. Bagi yang berkemampuan eloklah membelanjakan harta untuk menjaga mereka. Bina rumah perlindungan anak yatim misalnya, derma sebahagian harta, wakafkan untuk membantu mereka.
Bagi yang kurang kemampuan tapi berilmu, dapatlah dicurahkan ilmu mereka untuk mengajar anak-anak yatim tadi. Mengajar fardu ain misalnya. Selainnya cukupkan sekadar mengembirakan , bawa berjalan dan sebagainya.
Anak yatim pula hendaklah dibelai dan dijaga hati mereka sebaiknya.
Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah:
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.
Harta anak yatim hendaklah dijaga dan dibelanja sebaiknya.
Allah s.w.t. memberi amaran yang keras ke atas orang-orang yang merosakkan harta anak-anak yatim dengan mencampuradukkan harta mereka dengan harta anak yatim.
Firman Allah yang bermaksud:
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar. (al-NisaĆ¢: 2)
Dalam ayat-ayat yang lain Allah mengecam perbuatan memakan harta anak yatim tanpa hak.
Antaranya, firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka sedang memenuhkan perut mereka dengan memakan api neraka dan tempat kembali mereka ialah neraka. (al-NisaĆ¢: 10)
Maksud firman Allah lagi:
Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. (Dhuha: 9-10)
Maksudnya: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim (al-Maun: 1-2)
Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud:
Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (al-Israk: 34)
Begitu banyak peringatan dalam Al-Quran tentang kepentingan menjaga hak anak yatim, maka kita hendaklah berinteraksi sebaik mungkin dengan mereka. Jangan membelanjakan harta mereka tanpa keperluan sebenar dan jangan disakiti hati mereka.
Anak yatim adalah suatu hak mereka yang diberi oleh agama dan wajib bagi kita menyempurnakan hak mereka.
No comments:
Post a Comment